Tuesday

SILA MEROKOK DI WARUNG JIKA SANGGUP ‘DERMA’ RM10-RIBU ATAU PENJARA 2 TAHUN

Oleh Hayati Affandi


7 Juta Mati Sebab Rokok
Merokok...tabiat yang terbukti memudaratkan kesihatan.   Laporan terbaharu mengenainya oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (W-H-O) pada bulan Mei lepas mendedahkan,  lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun, akibat merokok, atau menghidu asap rokok.
sumber infosihat.gov.my

Kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru-paru, antara pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tembakau atau rokok.  Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 20-ribu rakyat negara ini meninggal dunia dalam tempoh setahun,  akibat merokok. Tabiat itu juga dikenal pasti penyebab utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia, sejak 30-tahun lalu. Kos perubatan bagi penyakit akibat merokok pula,  mencecah 3.8-bilion Ringgit, setahun.


Perketat Larangan Merokok di Tempat Awam
Untuk itu tidak hairanlah,  kerajaan mewartakan kawasan larangan merokok,  dalam usaha melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok.  Seta­­kat ini terdapat 23-tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan, di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.  Kawasan itu termasuk pusat hiburan, teater, dalam lif, tandas awam, tempat makan berhawa di­ngin, dalam kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan kawasan yang digunakan untuk aktiviti perhimpunan.


Terbaharu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan,   termasuk warung di tepi jalan, berkuat kuasa 1-Januari tahun depan. Cadangan itu sudahpun diluluskan kerajaan.


Jelas Timbalan Menteri berkenaan,  Dr. Lee Boon Chye, langkah tersebut merupakan inisia­tif memperluas kawasan larangan mero­kok.  Ia juga bukti komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau,  dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8, W-H-O.
                  
Denda RM 10 Ribu Atau Penjara
Buat perokok beringatlah...individu yang engkar mematuhi peraturan di zon larangan merokok,  boleh dikenakan denda maksimum 10-ribu Ringgit, atau penjara tidak lebih dua tahun. Pemilik premis makanan pula berdepan tindakan penguatkuasaan yang membawa hukuman denda 2-ribu-500-Ringgit.


Denda? Perokok Tetap Tegar
Bagaimanapun di sebalik pelbagai langkah kerajaan termasuk menaikkan cukai, dan kempen bahaya merokok selama ini,  ia tetap dilihat tidak menjadi halangan. Perokok masih sanggup membakar wang ringgit demi ketagihan mereka. Sekali gus menyaksikan jumlah kutipan cukai rokok bukan sedikit.  Pada tahun 2014 sahaja, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengutip 3.62-bilion Ringgit, menerusi cukai itu.


7-ribu Jenis Bahan Kimia Di Sedut
Ternyata,  ramai perokok tegar tidak menghiraukan segala risiko kesihatan yang bakal dihadapi diri sendiri, mahupun orang lain.  Lebih-lebih lagi apabila tabiat itu sudah sebati dalam kehidupan seharian. Seperti yang dinyatakan Persatuan-Persatuan Perubatan Malaysia,  satu daripada dua perokok akan mati akibat penggunaan tembakau dan produk tembakau. Malah kajian menunjukkan, bukan perokok sahaja terkesan dengan bahayanya.  Orang ramai di sekeliling turut berisiko mendapat pelbagai penyakit, akibat tersedut asap daripada bahan yang mengandungi lebih 7-ribu bahan kimia itu.
  
Berbalik kepada arahan larangan merokok di semua premis makanan berkuat kuasa tahun depan, ia sememangnya langkah bijak, demi kesejahteraan rakyat.  Kepada perokok, hormatilah insan lain...jauhi mereka daripada asap beracun.


Ulasan Berita Radio ini disiarkan di Stesen Radio NasionalFM, RTM
Isnin 15/10/2018, 8.03 pagi
Penyampai Nurul Asmawati Harun